BARU-BARU ini, kes penyakit tangan, kaki dan mulut di Malaysia telah dilaporkan meningkat. Penyakit tersebut adalah disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus), sejenis virus yang biasanya terdapat dalam usus.
Penyakit ini biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur lima tahun, di mana kanak-kanak tersebut masih mempunyai sistem immuniti yang rendah, namun ia tidak menolak kemungkinan, ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia.
Risiko kanak-kanak untuk menjangkiti penyakit tersebut akan meningkat jika dia berada di pusat jagaan kanak-kanak atau tadika di mana tempat tersebut biasanya sesak dan mempunyai kanak-kanak yang banyak. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan pusat jagaan kanak-kanak atau tadika yang mempunyai dua atau lebih kes penyakit tangan, kaki dan mulut untuk ditutup.
Cegah Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut
· Penyakit tangan, kaki dan mulut disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus) yang biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.
· Jangkitan ini berlaku disebabkan tidak mengamalkan kebersihan diri yang baik dan berada di tempat atau persekitaran yang sesak.
· Penyakit ini dijangkiti melalui kontak secara langsung dengan pesakit serta melalui najis, air liur dan lelehan dari hidung pesakit.
· Kebanyakan kes penyakit ini tidak serius. Namun begitu, terdapat juga kes-kes teruk yang melibatkan sistem saraf dan jantung.
· Setiap ahli keluarga dinasihatkan mengamalkan kebersihan diri untuk mencegah jangkitan.
Tanda dan Gejala Penyakit
· Ruam dengan lepuh di tapak tangan, kaki dan kawasan lampin
· Ulser di tekak dan mulut
· Demam
· Sakit kepala
· Hilang selera makan
Langkah-langkah Pencegahan
· Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin anak dan selepas mencuci najis anak.
· Tutup mulut dan hidung dengan tisu apabila bersin atau batuk.
· Jangan berkongsi barang-barang peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, cadar, cawan, sudu dan garpu.
· Mandi dan tukar pakaian selepas pulang dari tempat kerja sebelum bermesra dengan bayi atau anak kecil.
· Cuci alat mainan, permukaan meja, kerusi dan lantai yang dicemari air liur anak.
· Elakkan membawa anak kecil ke tempat umum yang sesak seperti pusat membeli belah, pawagam, kolam renang, pasar dan stesen bas.
Sekiranya anak anda mempunyai tanda-tanda dan gejala penyakit tangan, kaki dan mulut:
· Bawa segera ke hospital atau klinik berhampiran.
· Jangan hantar ke tadika, rumah pengasuh atau sekolah.
· Lap lelehan dari mulut dan hidung menggunakan tisu.