Isnin, 4 Jun 2012

Penyakit Tangan, Kaki & Mulut


BARU-BARU ini, kes penyakit tangan, kaki dan mulut di Malaysia telah dilaporkan meningkat. Penyakit tersebut adalah disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus), sejenis virus yang biasanya  terdapat dalam usus.

Penyakit ini biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur lima tahun, di mana kanak-kanak tersebut masih mempunyai sistem immuniti yang rendah, namun ia tidak menolak kemungkinan, ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia.

Risiko kanak-kanak untuk menjangkiti penyakit tersebut akan meningkat jika dia berada di pusat jagaan kanak-kanak atau tadika di mana tempat tersebut biasanya sesak dan mempunyai kanak-kanak yang banyak. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan pusat jagaan kanak-kanak atau tadika yang mempunyai dua atau lebih kes penyakit tangan, kaki dan mulut untuk ditutup.

Cegah Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

· Penyakit tangan, kaki dan mulut disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus) yang biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.
· Jangkitan ini berlaku disebabkan tidak mengamalkan kebersihan diri yang baik dan berada di tempat atau persekitaran yang sesak.
· Penyakit ini dijangkiti melalui kontak secara langsung dengan pesakit serta melalui najis, air liur dan lelehan dari hidung pesakit.
· Kebanyakan kes penyakit ini tidak serius. Namun begitu, terdapat juga kes-kes teruk yang melibatkan sistem saraf dan jantung.
· Setiap ahli keluarga dinasihatkan mengamalkan kebersihan diri untuk mencegah jangkitan.

Tanda dan Gejala Penyakit

· Ruam dengan lepuh di tapak tangan, kaki dan kawasan lampin
· Ulser di tekak dan mulut
· Demam
· Sakit kepala
· Hilang selera makan

Langkah-langkah Pencegahan

· Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin anak dan selepas mencuci najis anak.
· Tutup mulut dan hidung dengan tisu apabila bersin atau batuk.
· Jangan berkongsi barang-barang peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, cadar, cawan, sudu dan garpu.
· Mandi dan tukar pakaian selepas pulang dari tempat kerja sebelum bermesra dengan bayi atau anak kecil.
· Cuci alat mainan, permukaan meja, kerusi dan lantai yang dicemari air liur anak.
· Elakkan membawa anak kecil ke tempat umum yang sesak seperti pusat membeli belah, pawagam, kolam renang, pasar dan stesen bas.

Sekiranya anak anda mempunyai tanda-tanda dan gejala penyakit tangan, kaki dan mulut:

· Bawa segera ke hospital atau klinik berhampiran.
· Jangan hantar ke tadika, rumah pengasuh atau sekolah.
· Lap lelehan dari mulut dan hidung menggunakan tisu.

Perubahan Iklim! Kita Perlu Bersedia


PEMANASAN global memerlukan kita untuk menangani kesan perubahan cuaca. Tetapi, sebahagian besar lapisan masyarakat Malaysia tidak sedar ataupun bersedia untuk menghadapi perubahan yang tidak diduga ini.

Kita perlu mula merekod iklim yang keterlaluan dan kekerapannya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi. Ini dapat membantu agensi-agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam mengurangkan kesan perubahan cuaca. Ini juga meliputi kerja-kerja infrastruktur seperti saliran dan aktiviti pihak berkuasa tempatan untuk menghadapi perubahan ini serta meminimumkan kesannya kepada rakyat.

Terdapat bukti yang kukuh bahawa kita tidak dapat mengadaptasikan diri kita kepada perubahan cuaca. Kesannya yang tidak dapat dikawal kadang-kadang boleh mengatasi persediaan kita. Kita hanya boleh mengambil langkah untuk menangani kesan daripada perubahan cuaca sahaja.

Bagaimana kita boleh melakukannya?

· Perubahan keadaan cuaca mesti direkodkan dengan menggunakan pengkalan data yang cekap untuk merekodkan perubahan seperti tiupan angin, kemarau, aras air bawah tanah, banjir, kelebatan hujan, pengawasan kawasan berisiko tanah runtuh dan sebagainya. Data-data ini diselaraskan dengan kawasan-kawasan yang mempunyai kesamaan geografi dan juga berkemungkinan mengalami masalah yang sama. Melalui kaedah ini, tindakan mengatasi kesan iklim melampau ini mungkin dapat dikurangkan.

· Perubahan cuaca juga mengakibatkan kesan yang memudaratkan ekosistem kita. Haiwan dan tumbuhan sangat peka terhadap perubahan persekitaran yang mendadak. Adalah penting untuk mengkaji perubahan di hutan-hutan kawasan tanah tinggi dan tanah rendah dan bagaimana flora dan fauna menyesuaikan diri kepada perubahan ini.

· Kajian mengenai kesan perubahan cuaca kepada hutan dan juga penghuninya akan menjadi sebahagian daripada tindakan untuk memelihara kawasan ini. Ini juga patut dijalankan dengan kapasiti penyelidikan yang baik melalui pakar-pakar yang sesuai. Terdapat satu keperluan untuk membangunkan kepakaran  di dalam negara serta menjalinkan semua penyelidikan untuk kebaikan bersama.

· Kebanyakan reka bentuk infrastruktur adalah lama dan ia memerlukan pembaikan dalam konteks iklim melampau. Kapasiti operasi mungkin tidak dapat menampung perubahan yang sedang berlaku sekarang. Struktur-struktur ini mungkin tidak dapat menampung peningkatan air permukaan (surface run-off) dan akan memberikan impak negatif kepada penghuni tempatan. Pada masa yang sama, lebih banyak kejadian tanah runtuh boleh berlaku kerana kestabilan cerun banyak bergantung kepada kandungan air dalam tanah.

· Struktur bangunan pula perlu dikaji, perubahan iklim boleh menyebabkan keretakan pada struktur yang boleh memberikan kelemahan pada kekuatan bangunan. Tambahan pula, di Malaysia gegaran disebabkan gempa bumi semakin dirasai. Kajian-kajian sedang dijalankan untuk melihat kepada hubung kait antara perubahan cuaca dan plat tektonik (plat-plat yang membentuk Bumi).

· Kita juga patut melihat kesan perubahan cuaca kepada sektor pertanian. Hasil yang sekata memastikan bekalan yang mencukupi. Walau bagaimanapun, perubahan cuaca boleh memberikan kesan kepada kapasiti penghasilan dan boleh menyebabkan gangguan bekalan makanan.

· Industri air dirawat juga perlu peka akan impak iklim melampau seperti hujan yang lebat dan juga kemarau yang panjang ke atas bekalan air mentah.

Contoh pelaksanaan pengurangan kesan perubahan iklim sememangnya wujud. Environment Canada memastikan komunikasi kerap kepada pegawai-pegawai peringkat daerah untuk memastikan penyampaian informasi yang tepat dan cepat. Terdapat juga laman web yang sedia ada untuk mendidik masyarakat untuk bersiap sedia dan sentiasa peka terhadap perubahan untuk mengelakkan sebarang keadaan yang tidak diingini. Walaupun kejadian di Kanada dan Malaysia jauh berbeza, tetapi cara informasi disebarkan dan kecekapan pelaksanaan boleh digunakan.

Tindakan sebegini juga akan memastikan rakyat bersedia dan mengurangkan kehilangan nyawa atau kecederaan jika berlaku kejadian yang tidak diingini.

Kita patut memfokuskan usaha-usaha penggabungan secara menyeluruh untuk mengatasi kesan perubahan cuaca. Setiap langkah yang diambil sekarang boleh menyelamatkan nyawa di masa depan. Masa depan terletak di tangan anda.


Sumber: Buletin Pengguna, Januari 2009

Amalan Pembiayaan Yang Bertanggungjawab


BANK Negara Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Yang Bertanggungjawab. Garis panduan ini bertujuan untuk menggalakkan amalan yang bertanggungjawab kepada pemberi pinjaman dan peminjam. Selain itu, ia juga menggalakkan sektor isi rumah supaya lebih berdaya tahan dan mewujudkan pasaran kredit yang berhemat. Garis panduan ini turut memberi perlindungan yang lebih baik kepada pengguna kewangan.

SKOP GARIS PANDUAN

Garis panduan ini terpakai ke atas pembiayaan yang baru dan pembiayaan tambahan yang ditawarkan kepada pelanggan individu dan pemilik tunggal (iaitu pembiayaan yang dipohon atas nama individu) seperti:-
i. pembiayaan rumah;
ii. pembiayaan persendirian termasuk kemudahan overdraf;
iii. pembiayaan kenderaan;
iv. kredit dan kad caj; dan
v. pembiayaan untuk pembelian sekuriti, kecuali untuk pembiayaan saham yang ditadbir di bawah peraturan-peraturan Bursa Malaysia.

Tarikh kuat kuasa garis panduan

Garis panduan ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2012. Namun begitu, keperluan yang mengehadkan tempoh matang pembiayaan kenderaan kepada 9 tahun terpakai kepada semua permohonan pembiayaan kenderaan yang diterima mulai 18 November 2011.

Tanggungjawab Peminjam

Sebelum memohon pinjaman baru, peminjam perlu:

· Mengira jumlah bayaran balik bulanan yang mereka mampu berdasarkan pendapatan, perbelanjaan harian dan keperluan asas (seperti makanan, pakaian, rumah dan bil utiliti, kesihatan dan ubat-ubatan, pengangkutan, pendidikan) dan pembayaran balik hutang yang sedia ada.
· Mengambil kira kenaikan kadar faedah atau sebarang perubahan pada masa hadapan yang mungkin menjejaskan pendapatan atau perbelanjaan mereka.
· Membuat perbandingan tentang kadar pembiayaan, ansuran bulanan, jumlah pembayaran balik dan ciri-ciri produk.
· Mendapatkan salinan Lembaran Penzahiran Produk atau Product Disclosure Sheet (PDS) yang mengandungi semua maklumat yang berkaitan dengan produk pembiayaan.

Peminjam bertanggungjawab untuk memberikan maklumat yang tepat dan menyediakan dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan untuk membolehkan institusi kewangan menilai kemampuan peminjam untuk membayar balik pinjaman. Peminjam perlu membaca PDS dan perjanjian pinjaman dengan teliti serta memahami terma-terma dan caj berkaitan serta tanggungjawab peminjam sebelum menandatangani sesuatu perjanjian.

Tanggungjawab Institusi Kewangan

Dalam menilai kemampuan peminjam, institusi kewangan akan mengambil kira nisbah khidmat hutang (debt servicing ratio) untuk menilai sama ada peminjam mampu untuk membayar balik keseluruhan pinjaman sepanjang tempoh pembiayaan. Di samping itu, institusi kewangan akan mengambil kira faktor-faktor lain seperti sejarah pembayaran balik dan skor kredit pelanggan.

Kakitangan atau wakil pemasaran dikehendaki mengambil kira kepentingan dan keadaan peminjam dengan meneliti keperluan dan kedudukan kewangan peminjam bagi memastikan bahawa produk pembiayaan yang ditawarkan adalah sesuai untuk memenuhi keperluan peminjam. Kakitangan atau wakil pemasaran tidak boleh mengganggu, member tekanan atau memaksa pengguna untuk menandatangani perjanjian produk pembiayaan.

Untuk maklumat lanjut tentang garis panduan ini, sila hubungi Bank Negara Malaysia.

Apakah Perancangan Kewangan?


PERANCANGAN kewangan berkait rapat dengan apa yang anda mahu lakukan dalam kehidupan anda, seperti berkahwin, mempunyai anak, membeli rumah atau kereta. Menerusi perancangan kewangan, anda akan melihat cara perbelanjaan anda, dan mempelajari cara untuk merancang dan membuat anggaran belanjawan untuk mencapai hasrat anda.

Kebaikan perancangan kewangan

Apabila anda mempunyai satu perancangan kewangan persendirian yang baik, anda akan lebih mengenali keperluan masa depan anda dan sumber yang anda miliki. Keadaan kewangan anda adalah di bawah kawalan anda. Antara kebaikan perancangan kewangan adalah;

· lebih pengawalan ke atas urusan kewangan
· dapat mengelakkan perbelanjaan yang berlebihan, hutang yang tidak dapat dijelaskan, bankrap atau kebergantungan kepada orang lain
· jalinan hubungan sosial yang lebih baik
· tidak perlu meminjam
· hubungan yang lebih baik dengan kawan-kawan, ahli keluarga dan rakan sekerja, kerana anda gembira dengan kehidupan anda dan anda tidak perlu meminjam wang daripada orang lain atau mengharapkan bantuan orang lain
· bebas dari kebimbangan kewangan kerana anda telah merancang untuk kehidupan masa depan, membuat anggaran tentang perbelanjaan dan mencapai tujuan anda di dalam kehidupan
· mengambil berat tentang orang kesayangan anda
· berkesan dalam mencapai, mengguna dan melindungi sumber kewangan anda menerusi kehidupan anda sepanjang hayat, bukan sahaja untuk anda tetapi juga untuk orang kesayangan anda

Langkah-langkah dalam perancangan kewangan

Terdapat lima langkah dalam perancangan kewangan:

1. Memahami keadaan kewangan semasa anda
· Anda perlu memahami keadaan kewangan anda dengan mengambil kira semua aset dan tanggungan yang anda miliki.
· Aset ialah apa yang anda miliki, termasuklah wang tunai, simpanan atau saham dalam sebuah syarikat.
· Tanggungan ialah apa yang anda berhutang, termasuk semua jenis pinjaman atau hutang kad kredit.
· Anda dapat mengetahui keadaan kewangan anda dengan mengambil kira semua aset dan tanggungan yang anda miliki, untuk melihat sama ada anda berhutang atau tidak berhutang.

2. Menetapkan satu matlamat kewangan anda

Di pelbagai peringkat di dalam kehidupan anda, terdapat keutamaan, tanggungjawab dan tujuan kewangan yang berlainan. Setiap peringkat kehidupan anda mempunyai peluang melabur dan cabaran yang berbeza. Semasa peringkat kehidupan anda berubah, begitu juga dengan keperluan dan tujuan anda. Perancangan kewangan membolehkan anda bersedia untuk mencapai kejayaan dalam matlamat tersebut.

3. Membuat satu perancangan kewangan

Seterusnya anda perlu membuat satu perancangan kewangan yang sesuai untuk keadaan kewangan dan matlamat kewangan anda. Perancangan tersebut hendaklah:
· Mengikut kemampuan pendapatan bulanan anda.
· Tidak mengganggu wang simpanan.
· Menyimpan untuk tabung kecemasan.

4. Melaksanakan perancangan kewangan anda

Anda perlu mengikut belanjawan yang telah anda buat untuk mencapai matlamat kewangan anda. Sebarang penangguhan akan melambatkan proses mencapai matlamat kewangan anda.

5. Memantau dan menilai perancangan kewangan anda

Mengamalkan satu perancangan kewangan yang baik dengan sentiasa menyemak keadaan kewangan dan nilai bersih harta anda. Anda mungkin perlu mengubah perancangan anda dengan perubahan dalam kehidupan anda atau perubahan semasa masyarakat.

Kesimpulan

Kita perlu hidup mengikut kemampuan kita. Apabila kita hidup mengikut kemampuan kita, kita telah membuat perbelanjaan mengikut wang yang kita ada. Pada masa yang sama, kita menyimpan wang kita untuk mencapai matlamat kewangan kita. Selain itu, kita juga kena membezakan apa itu keperluan dan kemahuan dalam hidup kita. Hanya beli barang keperluan seperti makanan dan kurangkan membeli kemahuan seperti jam tangan atau kamera. Dengan ini, kita dapat berdikari dari segi kewangan dan bebas daripada hutang.

Jimatkan Penggunaan Air


AIR merupakan keperluan asas kita yang memainkan pelbagai peranan yang penting dalam kehidupan seharian. Menurut Majlis Air Sedunia, permintaan terhadap air akan berlipat kali ganda dalam tempoh 20 tahun. Pada tahun 1950, hanya 12 negara dengan jumlah pendudukan seramai 20 juta orang yang mengalami masalah kekurangan air tetapi dijangka pada tahun 2050, sebanyak 65 buah negara akan terbabit, melibatkan seramai 7 bilion orang.

Memandangkan permintaan air bersih kian meningkat sedangkan sumbernya semakin berkurangan, maka langkah penjimatan dan pemuliharaan perlu dilakukan.

Langkah-langkah untuk menjimatkan air:

1. Mandian
· Kurangkan jumlah dan masa mandian.
· Tutup pili air ketika bersabun atau bersyampu.
· Menggunakan sabun dan syampu organik lebih menjimatkan air kerana ia kurang berbuih dan memerlukan air yang kurang untuk membilas.

2. Penggunaan tandas
· Curahkan air yang pernah digunakan (air basuh tangan atau sayur-sayuran) daripada menggunakan pengepam.
· Pasang peralatan dua-pam dalam sistem pengepaman.
· Berbanding dengan sistem biasa yang menggunakan 10 liter air setiap kali pam, sistem dua-pam hanya menggunakan 6 liter bagi pengepaman penuh dan 3 liter untuk pengepaman separuh.
· Gunakan tandas cangkuk bagi penggunaan yang singkat.

3. Membasuh kenderaan
· Kurangkan membasuh kenderaan.
· Semasa membasuh, gunakan baldi dan kain dan elak dari menggunakan hos.

4. Menyiram
· Gunakan air yang dikitar semula seperti air basuh sayuran dan tangan.
· Gunakan bekas atau baldi untuk mengisi air untuk menyiram daripada memancur hos taman.
· Letakkan bekas di bawah pasu bunga untuk menahan air keluar. Ini dapat mengurangkan kekerapan untuk menyiram.

5. Mencuci lantai
· Jangan gunakan hos atau mencurah air di atas lantai untuk mencuci, selalu gunakan pengelap lantai.
· Gunakan cecair pencuci yang kurang berbuih.
· Sapu lantai lebih kerap untuk mengelakkan debu dan habuk berkumpul. Debu yang terkumpul akan menyukarkan pencucian dan ia memerlukan lebih banyak cecair pencuci dan air.

6. Mencuci pakaian
· Kumpul dan hanya cuci pakaian dalam mesin basuh apabila mencukupi muatannya.
· Gunakan serbuk pencuci yang mesra alam kerana ia kurang berbuih dan menjimatkan air. Ia juga tidak mencemarkan alam sekitar dan air basuhan ini juga boleh digunakan untuk mencuci kenderaan , menyiram pokok, dan sebagainya.

Panduan Membeli Minyak Wangi


ADAKAH anda sering menerima promosi minyak wangi terkemuka dengan tawaran harga yang sangat murah? Awas: ia berkemungkinan besar adalah palsu. Bagi pengguna biasa, adalah sukar untuk mengenal pasti dan membezakan minyak wangi yang palsu dengan yang tulen.

Kebanyakan minyak wangi palsu mempunyai pembungkusan yang amat menyerupai produk yang tulen; sama ada dari segi kotak luaran hinggalah kepada bentuk botol. Pada hiduan pertama, minyak wangi palsu memberikan bau yang seakan serupa dengan yang tulen tetapi ia akan cepat pudar dan seringkali meninggalkan bau yang masam atau pahit. Yang lebih membimbangkan ialah kandungan bahan yang digunakan dalam pembuatan minyak wangi palsu itu yang berkemungkinan besar boleh membahayakan kesihatan pengguna.

Tip-tip untuk memilih minyak wangi tulen:

1. Tempat jualan

Minyak wangi palsu sering dijual di tempat-tempat seperti kaki lima, pasar malam, dan gerai-gerai di tepi jalan.

Tempat yang paling baik dan terjamin untuk mendapatkan minyak wangi tulen adalah di kaunter-kaunter runcit eksklusif yang menjual jenama-jenama yang terkenal yang biasanya terdapat di pusat membeli-belah terkemuka.

2. Harga

Minyak wangi tulen secara amnya adalah produk yang mahal, yang biasanya berharga ratusan ringgit untuk satu botol yang kecil. Oleh itu, jikalau terdapat jenama terkemuka yang dijual dengan harga puluhan ringgit sahaja, maka berkemungkinan besar ia adalah minyak wangi palsu.

3. Pembungkusan

Pembungkusan untuk minyak wangi palsu biasanya adalah lebih kasar dan tidak jelas. Semasa membeli minyak wangi yang biasa anda gunakan, sebaik-baiknya bawa bersama kotak minyak wangi tulen yang lama untuk memeriksa ketepatan ejaan, logo jenama, gambar dan huruf-huruf cetakan halus (fineprint).

4. Kandungan

Ambil perhatian tentang kandungan minyak wangi dengan menelitikan warna dan keadaan fizikal minyak. Ia sepatutnya jernih dan tidak terlalu berminyak.

5. Bau

Minyak wangi tidak sepatutnya berbau masam atau pahit. Anda boleh semburkan sedikit atas serpihan kadbod kecil dan biarkannya selama sekurang-kurangnya setengah jam. Minyak wangi palsu akan semakin pudar baunya berbanding dengan minyak wangi yang tulen.

6. Jaminan penjual

Pastikan penjual memberikan jaminan 100% ketulenan minyak wangi yang dibeli dan (kebiasaannya sijil ketulenan daripada pengeluar akan disertakan bersama) dan juga polisi pulangan (return policy) sekiranya anda tidak berpuas hati dengan produk yang dibeli.

7. Pembelian menerusi internet

Sekiranya anda membeli menerusi internet, perkara pertama yang harus diperhatikan adalah keselamatan proses pembelian yang terpapar pada URL anda (terdapatnya huruf “s” dalam “https” dan juga satu ikon mangga kunci dalam pelayar internet anda). Pastikan juga penjual mempunyai alamat dan nombor telefon kedainya dan ketahui juga bagaimana cara untuk membuat pembatalan dan pulangan balik (product refund) sekiranya produk tersebut tidak memuaskan anda.


Sumber: Konsumer NZ (New Zealand Consumer)