PERANCANGAN kewangan berkait rapat dengan apa yang anda mahu lakukan dalam kehidupan anda, seperti berkahwin, mempunyai anak, membeli rumah atau kereta. Menerusi perancangan kewangan, anda akan melihat cara perbelanjaan anda, dan mempelajari cara untuk merancang dan membuat anggaran belanjawan untuk mencapai hasrat anda.
Kebaikan perancangan kewangan
Apabila anda mempunyai satu perancangan kewangan persendirian yang baik, anda akan lebih mengenali keperluan masa depan anda dan sumber yang anda miliki. Keadaan kewangan anda adalah di bawah kawalan anda. Antara kebaikan perancangan kewangan adalah;
· lebih pengawalan ke atas urusan kewangan
· dapat mengelakkan perbelanjaan yang berlebihan, hutang yang tidak dapat dijelaskan, bankrap atau kebergantungan kepada orang lain
· jalinan hubungan sosial yang lebih baik
· tidak perlu meminjam
· hubungan yang lebih baik dengan kawan-kawan, ahli keluarga dan rakan sekerja, kerana anda gembira dengan kehidupan anda dan anda tidak perlu meminjam wang daripada orang lain atau mengharapkan bantuan orang lain
· bebas dari kebimbangan kewangan kerana anda telah merancang untuk kehidupan masa depan, membuat anggaran tentang perbelanjaan dan mencapai tujuan anda di dalam kehidupan
· mengambil berat tentang orang kesayangan anda
· berkesan dalam mencapai, mengguna dan melindungi sumber kewangan anda menerusi kehidupan anda sepanjang hayat, bukan sahaja untuk anda tetapi juga untuk orang kesayangan anda
Langkah-langkah dalam perancangan kewangan
Terdapat lima langkah dalam perancangan kewangan:
1. Memahami keadaan kewangan semasa anda
· Anda perlu memahami keadaan kewangan anda dengan mengambil kira semua aset dan tanggungan yang anda miliki.
· Aset ialah apa yang anda miliki, termasuklah wang tunai, simpanan atau saham dalam sebuah syarikat.
· Tanggungan ialah apa yang anda berhutang, termasuk semua jenis pinjaman atau hutang kad kredit.
· Anda dapat mengetahui keadaan kewangan anda dengan mengambil kira semua aset dan tanggungan yang anda miliki, untuk melihat sama ada anda berhutang atau tidak berhutang.
2. Menetapkan satu matlamat kewangan anda
Di pelbagai peringkat di dalam kehidupan anda, terdapat keutamaan, tanggungjawab dan tujuan kewangan yang berlainan. Setiap peringkat kehidupan anda mempunyai peluang melabur dan cabaran yang berbeza. Semasa peringkat kehidupan anda berubah, begitu juga dengan keperluan dan tujuan anda. Perancangan kewangan membolehkan anda bersedia untuk mencapai kejayaan dalam matlamat tersebut.
3. Membuat satu perancangan kewangan
Seterusnya anda perlu membuat satu perancangan kewangan yang sesuai untuk keadaan kewangan dan matlamat kewangan anda. Perancangan tersebut hendaklah:
· Mengikut kemampuan pendapatan bulanan anda.
· Tidak mengganggu wang simpanan.
· Menyimpan untuk tabung kecemasan.
4. Melaksanakan perancangan kewangan anda
Anda perlu mengikut belanjawan yang telah anda buat untuk mencapai matlamat kewangan anda. Sebarang penangguhan akan melambatkan proses mencapai matlamat kewangan anda.
5. Memantau dan menilai perancangan kewangan anda
Mengamalkan satu perancangan kewangan yang baik dengan sentiasa menyemak keadaan kewangan dan nilai bersih harta anda. Anda mungkin perlu mengubah perancangan anda dengan perubahan dalam kehidupan anda atau perubahan semasa masyarakat.
Kesimpulan
Kita perlu hidup mengikut kemampuan kita. Apabila kita hidup mengikut kemampuan kita, kita telah membuat perbelanjaan mengikut wang yang kita ada. Pada masa yang sama, kita menyimpan wang kita untuk mencapai matlamat kewangan kita. Selain itu, kita juga kena membezakan apa itu keperluan dan kemahuan dalam hidup kita. Hanya beli barang keperluan seperti makanan dan kurangkan membeli kemahuan seperti jam tangan atau kamera. Dengan ini, kita dapat berdikari dari segi kewangan dan bebas daripada hutang.